Sabtu, 6 Februari 2010

Sasaran enam teras NKRA


NKRA, KPI baiki mutu perkhidmatan: Usaha perjelas hala tuju pembangunan negara: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia juga bagi memastikan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara.


* Mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir 2010.

* Semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad bagi memerangi rasuah.

* Pendidikan prasekolah dijadikan sebahagian sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana bagi memperluas akses pendidikan berkualiti.

* Membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.

* Peruntukan RM10.9 bilion bagi membina jalan, bekalan air dan elektrik, selain baik pulih 50,000 rumah menjelang 2012.

* Menetapkan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada akhir 2012.

"Kepemimpinan tidak akan bermakna jika bukan berpaksikan pencapaian yang akan membolehkan perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh daripada aspek kuantitatif dan kualitatif.

"NKRA dan KPI diperkenalkan kerana tidak mahu rakyat sebagai pelanggan utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan.

"Saya mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dimaklum dan diketahui agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran yang ditetapkan," katanya.


Najib menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran, Penjawat Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, semalam.

Beliau berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran, Penjawat Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Najib menerusi ucapan bertajuk Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan, memperincikan KPI setiap enam NKRA yang masing-masing diterajui oleh enam menteri, iaitu;

* Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

* Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Mengurangkan kadar jenayah.

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz - Memerangi rasuah.

* Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - Meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

* Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal - Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.

* Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat - Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib juga berkata, setiap NKRA akan dikenal pasti menerusi KPI tersendiri dengan sasaran khusus supaya pencapaiannya dapat diukur.

Katanya, sistem KPI banyak diguna pakai oleh syarikat korporat dan dijadikan sebagai radas timbangan kerja yang berkesan, selain diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

"Dengan adanya KPI, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada akhirnya rakyat akan memperoleh semua faedah daripada usaha itu, manakala beliau sendiri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI.

"Setiap minggu saya akan berjumpa setiap menteri peneraju bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan," katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang digariskan adalah sesuatu yang besar dan penting membabitkan komitmen mendalam dan tuntutan tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.

"Amanah yang diberikan rakyat di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar.

"Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini." katanya.

SUmber : Berita Harian sukanmalaysia.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates