Sabtu, 26 Jun 2010

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi


www.iluvislam.com
Shukri Abdullah
n13@m

Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :

1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Motivasi

wahai isterii......................

WAHAI ISTERIKU...
www.iluvislam.com
Oleh: Abu Hariz
Editor: azzahra_solehah



"Yang muka kau ni kelat semacam ni kenapa Suhail?" Imran menegur.

Dari tadi dia melihat sahabatnya yang seorang ini duduk termenung dengan mukanya yang berkerut.

"Takda apa-apa la Im. Aku macam biasa je," Suhail berdalih.

"Ish, sekilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya tau. Apa yang dah berlaku ni?" Imran melabuhkan punggungnya di sebelah Suhail. Tangannya mengurut-urut tengkuk sahabatnya itu, mudah-mudahan kurang tekanan persaannya.

Huhh....terkeluar keluhan dari mulut Suhail. Matanya sayu memandang sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di tepi tasik. Entah, hilang ke mana sudah keceriannya hari ini.

"Aku tak tahulah Im. Aku ada problem dengan isteri aku." Suhail memulakan bicara.

Terbayang wajah isterinya yang hampir 7 bulan dikahwini. Kerenah isterinya semakin tidak dapat difahami. Acap kali dia bergaduh kecil kerana sikap isterinya. Kalau setakat membebel tu, dia tak kisah. Tetapi kadangkala ucapan isterinya yang seakan merendahkan maruahnya cukup mengguriskan hati.

"Sarah tembak kau lagi ke?" tanya Imran dengan nada bergurau.

Suhail tersengih kecil. "Ya, kali ini betul-betul tepat ke kalbu."

Mereka berdua tergelak kecil. Seketika kedua sahabat tersebut berdiam diri. Suhail, seorang mahasiswa pengajian Islam yang baru sahaja berumur 22 tahun. 7 bulan lalu dia membuat kejutan dengan menyatakan hasratnya untuk bernikah ketika belajar. Imran menjadi orang pertama yang mengetahui hasratnya.

Dalam keadaan kelam kabut mahasiswa lain berhadapan dengan peperiksaan, Suhail tetap dengan hasratnya itu. Biarpun dibenak hati Imran tidak berapa bersetuju dengan sahabatnya itu, tetapi dia tidak menghalang. Cukup sekadar peringatan, nasihat dan sokongan diberikan kepada Suhail supaya dia fikir masak-masak tentang keputusannya itu.

Akhirnya, termeterailah ikatan pernikahan antara Suhail dan Sarah yang juga merupakan rakan sekelas Imran. Namun, beberapa bulan ini, Suhail kerap mengeluh. Acap kali dia berceritakan mengenai perangai isterinya yang berubah-ubah.

"Kau tahu Im, semalam aku terlewat balik rumah. Kalau tak kerana Ustazah Hanizah minta dihantar assignment hari ini, aku dah target balik awal." Suhail memeluk lututnya.

"Apa reaksi Sarah?" Imran bertanya.

"Macam biasa, mulanya biasalah, baru nak panas enjin. Dia mengomel sikit. Aku minta maaf dan jelaskan pada dia. Aku ingat dah habis masa makan malam, tapi ada siri kedua rupanya."

Imran tersengih lucu mendengar kata-kata Suhail tersebut.

"Dia bagi kat aku machine gun kau tahu. Berasap jugalah telinga aku ni. Alhamdulillah masa tu aku baru lepas solat Isyak. Wuduk masih belum kering lagi. Bolehlah back up kesabaran aku yang semakin menipis tu."

"Kenapa? Kalau kau dah batal wuduk, kau nak buat apa?" Imran bertanya dengan nada lucu.

"He,he,he.... aku tak buat apa-apa. Tadah jek." Suhail tersengih.

"Suhail....Suhail.."

"Tapi Im, aku sayang sangat kat isteri aku tu. Cuma, yang buat aku terasa sikit malam tadi bila dia kata macam aku ni tak pernah nak tolong dia. Macam takde yang baik yang aku buat untuk dia..." sayu suara Suhail bercerita.

Tiada jawapan dari Imran. Buat seketika Imran terkedu dengan kenyataan Suhail. Fikirannya ligat mencari sesuatu.

"Im, kau dengar tak apa aku cerita ni?" Suhail menepuk paha Imran.

Imran mengangguk. Matanya merenung wajah kelat sahabatnya. Berat rasanya hendak dituturkan kata-kata. Namun, sebagai sahabat, dia perlu beritahu kepada Suhail.

"Suhail, barangkali Sarah kepenatan semalam. Aku dengar muslimah kelas kita ada program di luar. Boleh jadi stress dengan program, assignment lagi, dah tu dengan tugas dia sebagai isteri lagi."

Suhail mengangguk. Sememangnya isterinya telah memaklumkan lebih awal semalam. Sebab itu dia berusaha untuk pulang awal. "Kalaulah assignment Ustazah Hanizah tu takde.." gerutu hatinya.

"Tapi Suhail, aku rasa kau perlu lakukan sesuatu di sini." Imran mengubah nada suaranya.

Kening Suhail terangkat sebelah. Biasanya, andai Imran merubah nada seperti itu, pasti ada sesuatu yang penting. Itulah kelebihan sahabat baiknya ini.

"Andai baginda Rasulullah s.a.w. mendengar cerita aku ni, apa yang baginda akan kata?"

Imran tersengih. "Ya, aku teringat mengenai satu hadis nabi s.a.w. yang aku baca dalam sahih Bukhari. Kau rujuk dalam kitab Iman..."

Daripada Ibn ‘Abbas r.a. telah berkata, bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda,
"Aku telah melihat neraka, kebanyakkan penghuninya adalah wanita. Sahabat bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah?" Baginda s.a.w. menjawab "Kerana kekufuran mereka." Baginda ditanya, "Apakah mereka kufur terhadap Allah?" Baginda bersabda "Mereka kufur terhadap suami dan mengingkari kebaikkan. Jika engkau berbuat baik kepada salah seorang dari mereka sepanjang masa. Kemudian dia menemukan sesuatu yang dia benci pada dirimu, maka dia akan berkata " Aku sama sekali tidak pernah melihat kebaikkan pada dirimu."



Suhail terdiam mendengar hadis tersebut. Ya, dia juga pernah membaca hadis itu.

"Setiap dari kita adalah pemimpin, dan akan dipertanggunggjawabkan atas rakyat yang dipimpin. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya, dan dia akan ditanya mengenai tanggunggjawabnya itu..." Imran menyambung dengan sebuah lagi hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim.

Suhail mengangguk tetapi masih lagi membisu.

"Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam surah al-Tahrim ayat ke 6, 'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan'."

Imran tersenyum. Begitulah setiap kali Suhail datang meminta nasihat kepadanya, dia akan menyelitkan hadis dan ayat al-Quran yang dipelajarinya. Memandangkan mereka berdua sememangnya mahasiswa dari bidang al-Quran dan as-Sunnah, jadi ia juga turut membantu mereka dalam pelajaran.

"Kau nampak perkaitannya?"

Suhail mengangguk.

"Apa yang kau nampak?" Imran mengusik.

"Kau memang saja nak aku bagi ceramah. Ni satu jam 10 ringgit ok?"

Imran tergelak. Terserlah kemesraan antara dua sahabat tersebut.

"Hadis dari Ibn ‘Abbas merujuk kepada perbuatan isteri aku yang terlepas kata. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga dari azab-Nya. Dan aku sebagai ketua keluarga tidak sepatutnya membiarkan perbuatan tersebut berlalu dimamah masa. Di sini adalah tugas aku untuk mendidik dia agar perkara yang tidak disengajakan itu tidak berulang lagi. Dan takde la hati aku ni tercalar banyak kali."

Suhail berhujah sambil diselitkan dengan nada bergurau.

"Kemudian dari surah al-Tahrim tu, Allah mengingatkan kita orang beriman untuk melindungi ahli keluarga kita dari menjadi bahan bakar api neraka. Na'uzubillah... Allah turut menceritakan bagaimana dasyatnya malaikat yang menjaga neraka dan bagaimana setianya mereka menjalankan arahan Allah. Dan pastinya, arahan itu adalah menyeksa ahli neraka, dan mereka tidak akan berasa belas kerana itu adalah arahan Allah..."

"Allahuakbar...." Imran menyambut.

Tiada lagi suara dari keduanya. Masing-masing kegerunan apabila mengingatkan perkara tersebut.

Ya Allah, lindungilah kami dan ahli keluarga kami dari menjadi bahan bakar api neraka. Sesungguhnya kami tidak mampu menanggung azab seksa-Mu, dan kami malu untuk meminta nikmat syurga-Mu. Hanya dengan rahmat-Mu, dengan kasih sayang-Mu, Kau himpunkanlah kami sekeluarga di dalam syurga.

***************************

Seminggu kemudian......


~ For the rest of my life...~

Telefon bimbit Imran berbunyi. Segera diangkat sebaik melihat nama yang tertera.

"Salam ‘alaik akhi Suhail. Keifa haluka?"

"Alhamdulillah, sehat, ceria, gembira... semua ada."

"Ai, lain macam je jawapan kau ni. Ada apa-apa ke?"

"Subhanallah.... kau tahu Im, aku bakal jadi ayah. Rupanya selama ini isteri aku cepat moody disebabkan pembawaan budak dalam perut dia," suara Suhail kedengaran ceria.

Alhamdulillah, semoga Allah mengurniakan kau zuriat yang soleh dan solehah sahabatku....

Sumber: KLIK SINI

cerita solat subuh.... adakah kita ada kekuatan....

Nilai Sebuah Solat
www.iluvislam.com
Oleh : imammuda
Editor : almusafirq8



Bismillahirrohmanirrohim.

Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang sebaiknya, maka bersabda Nabi :

( Solat di awal waktunya.)
(Riwayat oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud, Al-Albani mensahihkannya.


Musafir

Baru-baru ini saya menaiki bas KKKL pukul 8.30 p.m dari Kota Bharu ke Batu Pahat. Perjalanan ke sana adalah sebagai memenuhi hak seorang Muslim apatah lagi Muslim itu adalah sahabat kenalan saya, pernah sehalaqah ketika di UTM dahulu.

Jemputan itu adalah memenuhi undangan akhi Anizan yang sudah pun bergelar suami kepada ukht Siti Hamidah, seorang akhwat di bahagian Selatan yang saya tidak kenali. Adapun beberapa akhawat UTM saya kenali setelah menjebakkan diri mereka dalam bisnes dakwah beberapa tahun sudah. Saya pernah jadi mas'ul ekonomi UTM 2 kali. Pertama pada tahun 1 sem 2, kemudian tahun 3. Banyak yang saya pelajari ketika mengendalikan perniagaan dakwah di sana. Pernah rugi , pernah untung, sikit rugi, banyak untung.

Ketika saya menaiki bas ke KKKL ke Batu Pahat, saya mengagak bas tersebut akan sampai di stesen bas Batu Pahat dalam waktu Subuh, ternyata ia meleset. Begitulah pada perkiraan saya, bas yang dimiliki secara konsortium oleh kaum Cina, mereka akan mengaut keuntungan semaksimum mungkin dari perjalanan bas. Tak mungkin ia mensia-siakan petrol walau seringgit!

Bas saya ke Batu Pahat itu rupanya berhenti di beberapa destinasi, Seremban, Melaka, Muar dan Batu Pahat. Ketika sampai di satu perhentian bas, hampir 20 karkun tabligh masuk ke dalam bas. Mereka sudah menempah hampir separuh dari bilangan 'seat' dalam bas tersebut. Saya percaya, bas ini nanti akan dipenuhi dengan alunan zikir dan setidak-tidaknya, kehadiran mereka membuat saya rasa lebih selesa. Pemandangan karkun tabligh memakai jubah dan serban putih amat menenangkan hati saya.

Disebabkan banyak perhentian, ternyata, pukul 6.00 a.m itu bas baru masuk ke negeri Melaka. Saya fikir bas tersebut akan berhenti di mana-mana masjid di tepi jalan untuk solat Subuh. Pada perkiraan saya, drebar Melayu, malah orang Kelantan, takkan tak berhenti solat Subuh...

Salah seorang dari tabligh saya nampak menuju ke tempat drebar bas memandu, saya percaya mungkin dia nak tanya Subuh kat mana. Nampaknya, karkun tabligh tadi berjalan balik ke tempat duduk, saya tanya, Subuh kat mana? dia kata drebar jawab, dekat Melaka Sentral. Jam sudah 6.15 a.m, perjalanan ke Melaka Sentral pasti mengambil masa hampir sejam. Tak mungkin saya lewat Subuh dalam sedar hari ini. No way...

Seorang tabligh lain kata, "Allah tak marah ke?"

Saya jawab, "enta pergi kat drebar, suruh dia berhenti tepi jalan".

Karkun tabligh yang kedua pergi mendakwahi drebar tadi, saya nampak tabligh tadi cakap slow sangat. Sungguh sopan penuh lembut. Begitulah gaya tabligh yang saya pelajari dan saya tahu dari ramai kawan-kawan saya yang berfikrah mulia itu.

Ternyata, ia tak memberi kesan pada drebar tadi.

Dan kini giliran saya berdakwah. Jam dah 6.30 a.m. Sikit lagi masuk syuruk. Sebarang perlanggaran kepada waktu Solat ini akan menyebabkan drebar bas ini masuk ke lembah kehinaan kerana dia tak solat dan menyebabkan penumpang yang majoriti Islam tak solat. Ini tak boleh jadi.

Saya nak buat laporan polis kalau bas ni tak berhenti. Saya bagitahu zaujah saya yang satu itu melalui SMS bahawa abang tak teragak-agak buat report polis kalau bas ni tak berhenti kerana sudah melanggar hak-hak kaum Islam beribadah kerana tidak berhenti Solat Subuh. Ia satu kewajipan malah rukun Islam.


Solat membezakan Islam dan Musyrik

Jam 6.35 a.m, saya dah kepanasan menunggu bas yang tak berhenti-henti untuk solat Subuh.

Saya meluru ke depan...

"Enchek, Saya minta enchek berhenti, berhenti, kami nak solat Subuh!", saya mulakan pengarahan.

"Ala, orang lain pun maye(sembahyang) jugok", drebar tu menjawab.

"Ya lah, takkan Subuh pukul 7 kot!", saya jawab balik.

Bas tu terus berhenti di Masjid Alor Gajah, kurang lebih 20 meter setelah saya mendesak drebar itu berhenti. Saya dengan gembiranya turun solat Subuh, itupun dah lewat. Saya solat jemaah bersama barisan karkun tabligh itu.

Selesai solat, saya yang pertama kali keluar dari masjid. Saya nampak drebar bas itu hanya menunggu di tepi bas. Saya percaya 99%, drebar bas Melayu itu tidak solat Subuh.


Pengajaran

Tujuan saya menulis ini adalah untuk mengajak kita semua, terutama penumpang bas yang beragama Islam, jangan biarkan hak kita sebagai Muslim ternoda hanya kerana kita menyerah kalah kepada drebar yang tidak mahu mempraktikkan Islam. Yang tidak solat.

Tak kira anda lelaki atau wanita, pertahankan hak anda sebagai Muslim. Kita punya banyak musuh, boleh jadi musuh kita adalah bukan Islam termasuk Yahudi dan Nasrani dan boleh jadi daripada orang Islam sendiri termasuk munafiqin dan fasiqin.

Kemudian, anda harus selalu ingat, bahawa solat di awal waktu itu adalah tuntutan daripada Nabi SAW sendiri.

Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang sebaiknya, maka bersabda Nabi :

Solat di awal waktunya.

(Riwayat oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud, Al-Albani mensahihkannya.

Dalam surah annisaa' ayat 103, Allah berfirman,

" Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ".

Khamis, 24 Jun 2010

SEMINAR RAWATAN ISLAM RUQYAH



ABIM KOTA TINGGI DENGAN KERJASAMA PERSATUAN SILAT MELAYU KERIS LOK 5 DAN JAWATANKUASA MASJID BANDAR MAS INSYA-ALLAH AKAN MENGADAKAN SEMINAR RAWATAN ISLAM RUQYAH INI SEPERTI KETETAPAN BERIKUT :

TARIKH : 17HB JULAI 2010
MASA : 8.00 PAGI-5.00 PTG
TEMPAT : MASJID BANDAR MAS
BAYARAN : RM60.00

SEMINAR INI KHAS UNTUK DEWASA SHJ.SASARAN PESERTA 30-50 ORANG SHJ. SEMOGA DENGAN SEMINAR INI DAPAT MENAMBAHKAN LG PENGETAHUAN KITA SEMUA CARA PERUBATAN ISLAM YANG SEBENAR TANPA MEROSAKKAN AKIDAH KITA. HARAP MAKLUM.



Template by:
Free Blog Templates