Selasa, 20 Oktober 2009

Pengambilan Minuman Berkarbonat: `Kegilaan` yang Membimbangkan


Pengambilan Minuman Berkarbonat: `Kegilaan` yang Membimbangkan

“Kita ambil 1000 tin minuman berkarbonat dalam satu minit”
MEMBACA tajuk atau kenyataan di atas menyebabkan ramai di antara kita yang mungkin terkejut. Betulkah begitu banyak air berkarbonat diminum oleh rakyat Malaysia ?Dalam satu artikel mengenai tabiat pemakanan rakyat Malaysia di laman web Bernama baru-baru ini, ia ada menyentuh mengenai sikap rakyat negara ini yang terlalu gemar kepada minuman jenis ini, yang lebih mesra dipanggil ‘air gas’ dalam bahasa pasar.
Kenyataan tersebut memang berasas kerana sejak tujuh tahun yang lepas, kadar obesiti rakyat negara ini meningkat daripada 20 peratus kepada 39 peratus, sesuatu yang membimbangkan kita, kerana pengambilan minuman ini juga menyumbang kepada masalah berkenaan.
Artikel itu juga menyebut bahawa hanya 14 peratus daripada rakyat Malaysia, mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat. Ini nyata merupakan satu hakikat yang menggusarkan kerana rata-rata mereka yang ketagih minuman berkarbonat ialah remaja dan kanak-kanak sekarang ini.Satu tin air berkarbonat, mengandungi kira-kira 10 sudu gula, hampir dua kali melebihi pengambilan yang disarankan oleh pakar pemakanan, iaitu enam sudu gula sehari, bergantung kepada pekerjaan dan kegiatan harian yang dilaksanakan.Islam menegah kita daripada berlebih-lebihan dalam sebarang perbuatan, termasuk makan dan minum.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”Dalam perkara ini, mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat itu sendiri lebih banyak mengundang padah kepada kita.Gigi, tanpa penjagaan yang rapi akan menjadi mudah reput kerana minuman berkarbonat ini mengandungi pelbagai pemanis dan perasa tiruan yang ditambah untuk ‘menyedapkan’ rasanya.
Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini. Menurutnya, bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang untuk sehari. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula," jelasnya.Bagaimanapun, jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.Oleh kerana satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula, ia bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.“Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau makanan lain,’’ kata beliau.Satu kepercayaan ramai orang yang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan ‘mencairkan’ kepekatan minuman berkarbonat.Ia sebenarnya salah kerana kita masih mengambil 10 sudu gula dalam minuman berkenaan, cuma hanya menambah air kosong, tidak akan memberi kesan kepada kandungan gula yang diambil. Kita juga akan terdedah kepada diabetes akibat kandungan gula yang tinggi.Bagi yang kerap melayari internet pula, pasti pernah terbaca artikel-artikel bebas yang mengatakan minuman berkarbonat daripada beberapa jenama terkenal mengandungi bahan haram seperti ekstrak babi dan sebagainya.Salah satu daripadanya turut mengatakan bahawa minuman berkarbonat (dalam tin) mengandung peluntur yang cukup kuat hingga mampu digunakan untuk membersihkan mangkuk tandas kediaman kita. Ia menjelaskan, ini dapat dilakukan oleh kerana kandungan asid sitrik (citric asid) yang tinggi dalam minuman berkarbonat.Artikel tersebut, juga mendakwa bahawa sebotol minuman berkarbonat juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah karat.
Sejauh mana kebenaran artikel-artkel tersebut bagaimanapun tidak diketahui.Minuman berkarbonat juga mengandung kafein, iaitu bahan yang boleh menyebabkan ketagihan.Prof. Suhaila Mohamad dari Fakulti Sains dan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam satu kajiannya berkata, kafein bersifat ’Diuretic’ (tindakan yang menyebabkan banyak air dikumuhkan).Menurut beliau, lazimnya sifat yang diuretic menyebabkan individu yang mengambil kafein akan kerap membuang air kecil.
Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Pantai, Kanimolli Arasu pula berkata kesan akibat pengambilan kafein bergantung kepada kekerapan dan jumlah pengambilan bahan itu."Ia mempunyai kesan lebih tinggi kepada kanak-kanak kerana saiz tubuh mereka yang kecil. Justeru, kafein cepat diserap dan mudah diedarkan kepada seluruh badan dalam masa yang singkat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa," jelasnya.Beliau berkata, secara umum, kanak-kanak yang mengambil terlalu banyak kafein seperti minuman berkarbonat akan kurang minum susu. Ini menyebabkan pengambilan nutrien seperti kalsium berkurangan.Justeru, bagi mengelakkkan kita daripada dihinggapi pelbagai masalah dengan terlalu banyak mengambil minuman berkarbonat, ambillah sekadarnya, sebagaimana anjuran Rasulullah s.a.w, iaitu “makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang.” Apa yang tersirat di sebalik nasihat Baginda itu ialah bersederhana ketika makan atau minum. Sebaik-baiknya, kita elakkan sahaja mengambil minuman jenis ini, alternatifnya, makanan atau jus minuman buah-buahan segar.kurangkanlah mengambil minuman ini, sebaik-baiknya seperti yang dikatakan di atas, ambil buah-buahan, terutamanya tamar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates