Selasa, 27 Oktober 2009

SEBAT KARTIKA JADI TANDA TANYA


Kuantan 25 Okt. - Kedudukan hukuman sebat membabitkan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang sebelum ini dijangka dilaksanakan selepas Aidilfitri, terus menjadi tanda tanya apabila Exco Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz yang ditanya perkara itu gagal menyatakan bila ia akan dilaksanakan. Persoalan mengenai status pelaksanaan hukuman model sambilan itu turut gagal dijelaskan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan yang sebaliknya memberi jaminan ia tetap akan dilaksanakan.Mohamad Sahfri yang merupakan Exco Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang pula berkata, beliau menyerahkan kepada mahkamah dan Jabatan Penjara untuk memutuskan bila hukuman sebat itu akan dilaksanakan. "Ini merupakan kes yang pertama melibatkan wanita dikenakan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak". "Tatacara telah diputuskan dan tarikh bila akan dilaksanakan terserah kepada mahkamah dan Jabatan Penjara," katanya kepada pemberita di Seminar Pelaksanaan Perundangan Jenayah Syariah-Isu dan Cabaran di sini hari ini.

Sebelum itu beliau turut menjadi salah seorang panel pada forum bertajuk 'Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Jenayah Syariah - Arak dan Zina' anjuran Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pahang. Demonstrasi hukuman sebat syariah turut ditunjukkan kepada peserta seminar. Bagaimanapun, ia dikendalikan oleh wakil MUIP dan bukannya Jabatan Penjara seperti diuar-uarkan oleh penganjur sebelum ini.Mohamad Sahfri berkata, seminar itu tidak berkaitan dengan masa dan ketika Kartika Sari Dewi akan disebat, sebaliknya bertujuan memberi pemahaman kepada masyarakat tentang pelaksanaan hukuman syariah ke atas pesalah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates