SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.

Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba Allah SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A’raf: 188)

Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)

Sifat ‘ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah".

Allah SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra’ kepada baginda sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)

Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.

Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu’ara’: 154)

Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu’ara’: 185)

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.

Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: "Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur".

Di dalam hadis sahih yang lain, nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihatmu dari depanku".

Baginda SAW juga bersabda: "Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi."

Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW telah wafat, tetapi baginda masih hidup dengan kehidupan Barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya.

Bahkan, disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada Baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya.

Keampunan

Baginda SAW berasa senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik, dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa. Sesungguhnya, Allah SWT telah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad nabi SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi.

Diriwayatkan daripada Aus ibn Aus r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Nabi Adam a.s diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so’iqah (petir dahsyat atau Kiamat). Maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat kalian akan dipersembahkan kepadaku". Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu, padahal kamu telah binasa?" Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan Imam Hakim mensahihkannya.)

Al Hafiz Imam Jalaluddin al Suyuti r.a menulis risalah khusus mengenai perkara ini yang bertajuk Anba’ al Azkiya’ bi Hayah al Anbiya’ (Perkhabaran Orang Cerdik Pandai Mengenai Kehidupan Para Nabi).

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a, daripada Rasulullah SAW yang bersabda: "Kehidupanku adalah baik bagi kamu, kamu berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada Baginda SAW) dan dibicarakan bagi kamu (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan Baginda SAW). Kewafatanku juga adalah baik bagi kamu kerana dibentangkan amalan kamu ke atasku. Apa yang aku lihat dari amalan itu baik, maka aku memuji Allah dan apa yang aku lihat dari amalan itu jahat, aku memohon keampunan kepada Allah untuk kamu". (Al Haithami mengatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al Bazzar, dan rijalnya adalah sahih)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorang pun yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah mengembalikan kepadaku rohku, sehingga aku (dapat) menjawab salamnya". (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Menurut sebahagian ulama, maksud Allah mengembalikan rohku adalah: "Allah mengembalikan kepadaku kemampuan berbicara".

Diriwayatkan pula daripada ‘Ammar ibn Yasir r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan pada kuburku malaikat yang diberikan nama-nama makhluk kepadanya. Maka tidak ada seorang pun yang membaca selawat ke atasku hingga hari kiamat, melainkan dia menyampaikan kepadaku nama orang tersebut beserta nama ayahnya, "Ini Fulan ibn Fulan telah berselawat ke atasmu". (riwayat al Bazzar dan Abu al Sheikh Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa meskipun baginda telah wafat, tetapi kemuliaan, kedudukan dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui lagi di sisi orang yang beriman.

Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.

Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.