Oleh :Norfazilla Binti Ibrahim
Mahasiswi UKM, Bangi
Pengenalan
Berdengkur adalah bunyi yang tidak menyenangkan semasa bernafas ketika tidur apabila sebahagian daripada saluran pernafasan seseorang mengalami masalah. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung. Bunyi dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergeser dan bergetar di antara satu sama lain.
Kekerapan berdengkur terus meningkat mengikut umur dan biasanya tidak membahayakan. Berdengkur mempunyai tiga tahap iaitu, peringkat pertama berdengkur yang ringan dengan empat atau lima kali dengkuran kemudiannya berhenti dan seterusnya diulangi lagi. Kedua, berdengkur yang sederhana iaitu berdengkur berterusan selama 10 hingga 15 minit dan ritmanya yang sama rata. Akhir sekali, berdengkur yang serius dengan terhentinya pernafasan selama lebih 10 saat semasa tidur. Kemudiannya akan menarik nafas yang dalam dan keadaan ini diulanginya secara berterusan. Di tahap ini dipanggil sebagai ‘sleep apnea‘ dan ia boleh membahayakan diri yang memerlukan rawatan selanjutnya.
Punca
Halangan pada salur pernafasan mungkin berpunca daripada beberapa sebab yang sama ada dipengaruhi oleh masalah genetik atau berpunca daripada masalah lain. Pengambilan ubat penenang, pelali atau ubat tidur juga boleh menyebabkan tisu tertentu mengendur dan menghalang laluan udara. Selain itu, tisu di sekitar tekak juga boleh dipenuhi tisu lemak akibat berat badan berlebihan yang akan menyebabkan salur udara mengecil. Saluran pernafasan melalui hidung yang tersekat disebabkan alahan, demam selesema, resdung dan sebagainya juga boleh menyebabkan berlakunya getaran dengkur. Tabiat tidur secara terlentang juga mungkin memburukkan lagi halangan saluran udara menyebabkan bunyi dengkuran lebih kuat.
Pengambilan alkohol akan mendorong tisu-tisu di sekitar tekak dan kerongkong mengendur ke dalam sementara tabiat merokok pula menyebabkan kerosakan tisu dinding laluan pernafasan dan sehingga menjadi kendur dan menghalang laluan udara. Masalah dengkur tidak mengira usia dan jantina dengan terdapatnya sebilangan kes di kalangan kanak-kanak sementara 32 peratus golongan lelaki dewasa dan 14 peratus golongan wanita dewasa menghidapi masalah ini. Walaubagaimanapun, usia turut memainkan peranan memandangkan otot-otot saluran pernafasan golongan berusia semakin lemah, mengendur dan membentuk halangan pada salur pernafasan. Terdapat kajian yang menunjukkan ukur lilit leher lebih memainkan peranan daripada Indeks Jisim Badan (Body Mass Index) di dalam terbentuknya halangan salur pernafasan, dengkur dan Obstructive Sleep Apnea (OSA). Ukur lilit leher yang melebihi 17 inci dikaitkan dengan peningkatan risiko halangan salur udara kerana longgokan lemak di leher mungkin menekan saluran pernafasan.
Struktur tulang muka turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas dan bawah yang tidak selari, seperti rahang bawah yang lebih pendek atau lebih kecil sehingga menyempitkan saluran pernafasan. Gangguan tempoh dan kualiti tidur penghidap dengkur dan orang di sekelilingnya dalam jangka panjang dikhuatiri membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Tidur tidak cukup atau kurang kualiti mungkin membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok serta gangguan fungsi dan ketahanan badan.
Rawatan
Jika seseorang yang telah tidur dalam satu jangka masa yang lama namun masih berasa letih setelah bangun, itu mungkin satu petanda bahawa dirinya berdengkur. Rawatan lain yang boleh diambil untuk mengatasi masalah dengkur ini adalah dengan mengubah posisi tidur. Dengkuran terjadi kerana lidah tertarik ke belakang menutupi saluran pernafasan semasa tidur terlentang. Oleh itu, ubah posisi tidur anda kepada mengiring agar terhindar daripada berdengkur. Selain itu, penurunan berat badan juga membantu mengurangkan masalah dengkur. Orang yang mengalami berat badan berlebihan mempunyai jaringan leher yang tebal dan meningkatkan risiko berdengkur. Jika anda salah seorang daripadanya, turunkanlah berat anda kira-kira 10%.
Jauhi alkohol dan ubat penenang. Ubat penenang seperti pil tidur atau alkohol dengan kadar rendah boleh menyebabkan berdengkur kerana ia akan menekan pernafasan anda. Seterusnya, dengan menyedut wap air sebelum tidur untuk menghindari hidung tersumbat yang menjadi salah satu punca dengkuran.
Terdapat juga rawatan secara perubatan seperti alat pembuka saluran pernafasan yang dimasukkan ke dalam mulut. Alat ini direka khas mengikut bentuk mulut setiap individu. Namun ia bukanlah satu prosedur pilihan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit. Selain itu dengan melakukan pembedahan laser (LAUP). Cahaya laser digunakan untuk membuang tisu lelangit lembut yang terlalu rendah atau uvula bagi mengurangkan getaran tisu dalam kerongkong ketika tidur. Namun, kebiasaannya prosedur ini harus dilakukan beberapa kali sebelum masalah ini benar- benar dapat diatasi. Seterusnya melalui cara baru iaitu Prosedur Pillar. Prosedur Pillar menggunakan tiga sisipan halus implan yang dibuat daripada tenunan Poliester Polietilen Tereftalat (PET) atau implan Dacron. Uvula akan ditanam dengan tiga implan Dacron bersaiz 18 milimeter panjang dengan dua milimeter garis pusat. Sisipan ini akan ditanam sebelah menyebelah pada jarak dua milimeter supaya dapat memberi sokongan dan mengeraskan lelangit lembut. Dengan itu, lelangit lembut tidak akan melentur terlalu rendah sehingga dapat menyekat saluran pernafasan. Prosedur ini bukanlah pilihan yang baik untuk semua orang walaupun ternyata ia adalah satu pilihan yang lebih baik. Doktor akan membuat penilaian, pemeriksaan atau ujian tidur terlebih dulu bagi menentukan kesesuaiannya.
Dengkur merupakan masalah kesihatan dan boleh mengurangkan keyakinan diri untuk menikmati kehidupan bersosial dengan masyarakat. Oleh itu, pastikan anda mengenalpasti adakah anda salah seorang daripada mereka yang menghadapi masalah ini. Dapatkan rawatan segera dan berusahalah untuk menjalani kehidupan yang berkualiti dan sejahtera. Tidur lebih indah tanpa masalah dengkur!
0 ulasan:
Catat Ulasan