Sabtu, 21 November 2009

bilakah berakhirnya masalah ini...... sedih dan menyayat hati...




KEJAM. Masalah pembuangan bayi semakin menjadi-jadi di negara kita. Hampir setiap hari akhbar tempatan melaporkan kes-kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Bayi ini dibuang di merata-rata tempat seperti di dalam longkang, di tempat pembuangan sampah, di masjid, di tepi surau dan sebagainya.
Akibat keterlanjuran dan terjerumus ke lembah zina yang mengakibatkan mengandung anak luar nikah, demi menutup malu dan takut diketahui umum, maka tanpa belah kesian dan rasa bersalah, bayi-bayi ini dibuang oleh tangan-tangan yang kejam dan zalim seperti membuang sampah di tepi-tepi jalan sahaja dan menjadi makanan dan ratahan anjing-anjing liar, semut dan ulat.
Kalau pada zaman jahiliah dahulu, hanya anak perempuan sahaja dibuang dan di tanam hidup-hidup, tetapi pada zaman yang dikatakan moden dan bertamadun ini, tidak kira sama ada bayi perempuan atau lelaki semuanya akan dibuang. Asalkan dapat menutup aib dan malu diri sendiri. Sedangkan binatang yang tidak mempunyai otak dan fikiran pun tahu menjaga dan menyayangi anaknya. Manusia jenis apakah ini ?
Sekiranya bayi-bayi itu boleh bercakap, pasti mereka akan bertanya kepada ibu dan bapa mereka yang zalim, kenapa aku dibuang begini? Apakah kesalahan aku ? Kamu berdua yang melakukan dosa dan maksiat, kenapa aku pula yang di hukum ? Kalau tidak kerana perbuatan kalian berdua, pasti aku tidak wujud di dunia ini. Di manakah tanggungjawab kamu berdua? Ketika melakukan maksiat, bukan main seronok lagi, apabila engkau mengandung dan melahirkan aku, engkau buang aku di merata-rata tempat seperti sampah busuk yang tiada nilainya. Beginilah nasibku seorang bayi luar nikah. BERILAH AKU PELUANG UNTUK HIDUP SEPERTI BAYI-BAYI YANG LAIN.
Apa yang KAM sering terfikir di fikiran ini adalah begitu mudah bayi ini dilahirkan. Tidak perlu doktor, jururawat dan bidan untuk bersalin. Di dalam tandas pun boleh bersalin. Berbeza sekali dengan apa yang KAM lihat di hospital ketika menemani isteri bersalin beberapa minggu yang lepas. Ada di antara mereka terpaksa membuat pembedahan untuk melahirkan seorang bayi. Manakala ada juga yang bertarung nyawa menahan kesakitan ketika hendak bersalin. Mungkin lain padang, lain belalang.
Mungkin ada benar juga kata seorang jururawat ketika bersembang dengan KAM, beliau berkata, “berdasarkan pengalamannya menjadi bidan, perempuan yang baik-baik memang susah hendak bersalin, terutama mereka yang bersalin anak sulung, tetapi cukup mudah ketika hendak menghembus nafas terakhir (mati), berbanding dengan perempuan zina, mereka amat mudah untuk bersalin tetapi amat payah untuk mati”. KAM terfikir sejenak apabila mendengar kata-kata jururawat tersebut.
Akhir kalam, KAM ingin mengigatkan kepada muda-mudi dan remaja khasnya, berzina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”.
Manakala firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 93 yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar” .
Oleh itu, wahai saudara-saudari, pemuda-pemudi dan para remaja…Fikir-fikirkanlah…

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates