Rabu, 26 Mei 2010

IBU BAPA MENURUT SUNNAH - HAK MEREKA

Pertama: Keredhaan Allah Terletak Pada Keredhaan Ibubapa.

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]

Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[2]

Di samping tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Allah, kita juga tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda berpesan:

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[3]

Cinta kepada Rasulullah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis di atas, bukanlah sekadar perasaan di hati tetapi adalah dengan pembuktian praktikal, seperti mentaati perintah larangan baginda, mengikuti sunnahnya dan membenci bid‘ah yang merosak dan mencemari sunnah tersebut.

Oleh itu tuntutan berbuat baik kepada ibubapa haruslah selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu syari‘at Islam. Justeru seandainya ibubapa menyuruh kita membelikan mereka minuman keras atau membantunya membuat acara kemungkaran seperti pesta (party) di rumah, kita tidak perlu mentaatinya. Jika kita mendapati ibubapa cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at Islam, hendaklah:

  1. Terlebih dahulu memastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam. Jika perkara tersebut merupakan sesuatu yang diperbincangkan oleh para ilmuan, maka hendaklah kita mengambil sikap berlapang dada. Oleh itu, sebagai contoh, jika kita cenderung kepada hukum larangan mendengar muzik manakala ayah pula gemar mendengar lagu-lagu klasik, maka hendaklah kita bersikap lapang dada. Biarkanlah ayah mendengar lagu-lagu kegemarannya.[4]

  2. Jika dipastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam, maka janganlah ditegur secara kasar dan mendadak. Sebaliknya maafkanlah mereka, pohonkan keampunan Allah kepada mereka[5], kemudian berbincanglah secara hikmah dan lemah lembut. Kemudian jangan diharapkan perubahan secara serta merta, sebaliknya bertawakkallah kepada Allah agar pada satu masa nanti, secara bertahap-tahap, mereka akan berubah. Ikutilah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara ini, iaitu sebagaimana firman Allah:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dapat dirumuskan bahawa sebelum seseorang itu membuat apa-apa keputusan, hendaklah diperhatikan bahawa keputusan tersebut menepati dua syarat berikut:

  1. Ia selari dengan syari‘at Islam.

  2. Ia diredhai oleh ibubapanya.

Seandainya wujud pertentangan antara dua syarat tersebut, hendaklah dicari jalan untuk menghilangkan pertentangan tersebut. Ini akan dijelaskan seterusnya dalam buku ini.

Pengajaran lain yang tidak kurang pentingnya daripada hadis di atas, yakni sabda Rasulullah yang bermaksud:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, ialah jika kita mengalami kehidupan yang sempit lagi serba tak menjadi, hendaklah diperhatikan hubungan kita dengan ibubapa. Ini kerana seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya. Sebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi, disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman).

[4] Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ilmuan tentang hukum muzik. Antara rujukan terkini yang baik untuk dijadikan kajian dan perbandingan adalah:

  1. Polemik Seputar Hukum Lagu & Muzik oleh Nashr al-Din al-Albani (edisi terjemahan oleh Abu Umar Basyir daripada judul asal Tahrim Alatit Tharab; Darul Haq, Jakarta, 1999). Ringkasnya al-Albani berpendapat muzik dilarang kecuali dalam beberapa suasana yang terhad seperti majlis perkahwinan. Itupun dengan beberapa alat muzik yang terhad.

  2. Fiqih Muzik & Lagu Perspektif al-Qur’an dan as-Sunnah oleh Yusuf al-Qaradhawi (edisi terjemahan oleh Achmad Fulex & Awan Sumarna daripada judul asal Fiqh al-Ghina wa al-Musiqy fi Dhau‘i al-Qur’an wa as-Sunnah; Mujahid Press, Bandung, 2002). Ringkasnya al-Qaradhawi berpendapat muzik adalah harus kecuali apabila ia disalahgunakan ke arah perkara yang merupakan maksiat kepada Allah seperti melalaikan daripada solat pada awal waktu.

[5] Sikap yang pertama adalah memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka. Ini akan menenangkan hati kita, seterusnya menjadi penggerak untuk kita memahami kenapakah mereka cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at. Mungkinkah mereka tidak tahu, salah faham, tidak mampu, terlanjur atau memiliki sebab-sebab lain yang tidak kita fahami? Kemudian, dengan sikap memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka, teguran kita kepada mereka akan lebih bersifat lemah lembut dan hikmah, tidak kasar dan mendadak.

Kedua: Derhaka Kepada Ibubapa Termasuk Dosa Besar.

Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.[1]

Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.[2]

Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:

Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).[3]

Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.

Ketiga: Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]

Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?

Jahimah menjawab: “Ya.

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

  1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: …ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…[al-Ahqaf 46:15]

  2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: …ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…

  3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: …dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).[4]

4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak

sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)

lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh

dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya

adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:

“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;

mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”

Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:

“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh

sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya

dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

(yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]

5. Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,

seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.[5]



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799

Keempat: Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.

‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:

“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:

“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]

Berhijrah adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting. Malah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang munasabah. Firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:

“Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”

Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”

Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak,

yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisa’ 4:97-99]

Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, dimana jika berhijrah akan menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.

Dalam hadis ini terkandung petunjuk bahawa menggembirakan ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka. Tidak ada cara yang terhad untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu yang dilarang oleh syari‘at. Kerap kali menghubungi mereka, sering kali menziarahi mereka, membawa mereka bercuti, membelikan mereka hadiah adalah beberapa contoh cara kita boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka kesunyian, tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka, bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah beberapa contoh tindakan kita yang menyedihkan mereka.

Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s Day. Hujah mereka adalah:

  1. Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.

  2. Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman baginda.

  3. Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.

  4. Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun.

Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan Father’s Day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:

1. Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat. Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day, maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.

Perlu diingatkan bahawa dalam berinteraksi dengan persoalan bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga kumpulan:

  • Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam. Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus hukumnya.

  • Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang oleh Islam.

  • Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu dianalisa secara mendalam.

2. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.

Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan sendiri. Meraikan ibubapa pada Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu daripada ruang tersebut.

3. Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya.

Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan Islam.

4. Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?

Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan saya jelaskan seterusnya dalam buku ini, insya-Allah.

Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 4163 (Kitab al-Bai‘ah, Bab berbai‘ah untuk hijrah).

Kelima: Wajib Meminta Izin Ibubapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?”

Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua.

Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak)

maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”[1]

Berkata al-Syaukani rahimahullah berkenaan hadis di atas:

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahwa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua).[2]

Perhatikan hadis di atas. Sekalipun keluar berjihad di jalan Allah adalah satu amalan yang amat penting kepada agama dan umat, lagi besar ganjaran kepada yang melakukannya, ia tetap tidak mengungguli amalan berbuat baik kepada ibubapa. Ini menunjukkan bahawa kita tetap perlu mendapatkan keizinan ibubapa sekalipun terhadap sesuatu aktiviti yang memiliki tujuan keagamaan. Secara lebih terperinci, hadis di atas memiliki beberapa petunjuk hukum, iaitu:

Petunjuk Pertama:

Kita tidak memiliki pilihan sewenang-wenangnya untuk keluar rumah melainkan perlu terlebih dahulu mendapat izin dan redha ibubapa. Keluar daripada rumah boleh dibahagikan kepada beberapa suasana:

Suasana Pertama:

Kita keluar untuk tujuan yang menyelisihi syari‘at, seperti pergi ke kelab hiburan malam. Tidak perlu meminta izin ibubapa dalam perkara yang sememangnya tidak diizinkan oleh syari‘at. Malah seandainya ibubapa menggalakkannya, kita tidak perlu menuruti galakan tersebut tetapi justeru menasihati dan membetulkan mereka.

Suasana Kedua:

Kita keluar untuk tujuan yang harus, seperti berjalan-jalan di taman atau ke pusat membeli belah. Perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, maka kita tidak boleh keluar dari rumah.

Suasana Ketiga:

Kita keluar untuk tujuan yang selari dan dituntut oleh syari‘at, seperti pergi solat berjamaah, berdakwah dan menuntut ilmu. Kita tetap perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, duduklah berbincang dengan secara lemah lembut dan hikmah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Mungkin mereka melarang kerana berlaku salah faham atau mereka sendiri menghajatkan sesuatu daripada kita pada saat itu.

Suasana Keempat:

Kita terpaksa keluar disebabkan berlakunya sesuatu yang genting, seperti keluar berjihad apabila musuh tiba-tiba menyerang atau keluar membantu mangsa apabila berlaku kemalangan jalan raya di hadapan rumah. Dalam suasana genting seperti ini, kita hendaklah bersikap bijak dalam menimbang antara dua tuntutan agama, manakah lebih yang lebih patut diberi keutamaan (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات). Maka dibolehkan keluar tanpa izin dan redha ibubapa dalam suasana yang genting lagi terpencil ini.

Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah, sekalipun diizinkan untuk keluar rumah, kita hendaklah memerhatikan sama ada ibubapa memiliki hajat tertentu dalam tempoh pemergian itu. Ini kerana ibubapa, disebabkan oleh sifat kasih sayang yang amat mendalam, lazimnya akan mengizinkan kita sekalipun mereka pada tempoh tersebut menghajatkan sesuatu daripada kita. Justeru jika jelas kelihatan bahawa ibubapa memiliki hajat tertentu, janganlah keluar melainkan dilaksanakan terlebih dahulu apa yang dihajati oleh mereka.

Petunjuk Kedua:

Seandainya kita adalah seorang anak yang ingin memeluk Islam, perlukah meminta izin daripada ibubapa yang bukan Islam? Jawapannya dapat diperincikan kepada tiga tahap seperti berikut:

Tahap Pertama:

Hukum asal adalah tidak perlu, iaitu boleh memeluk Islam tanpa keizinan ibubapa. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang shalih). Kemudian kepada Aku-lah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

[Luqman 31:15]

Firman Allah yang bermaksud: Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku menunjukkan boleh meneruskan hajat untuk memeluk Islam dan bersama orang-orang Islam yang lainnya.

Walaubagaimanapun adalah lebih molek jika diberitahu kepada ibubapa akan hajat kita untuk memeluk Islam. Seorang rakan karib saya, Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian, menerangkan kepada saya bahawa sebenarnya kaum bukan Islam amat terbuka lagi tertarik untuk mendengar apa-apa penjelasan tentang Islam. Lebih-lebih lagi pada masa kini dimana banyak peristiwa yang negatif dikaitkan dengan Islam oleh pihak media. Mereka ingin mengetahui apakah versi yang sebenar daripada peristiwa tersebut. Lanjutan daripada keinginan tersebut, mereka juga ingin tahu tentang apakah Islam secara keseluruhannya.

Justeru janganlah merasa segan atau berat untuk memberitahu kepada ibubapa akan hajat untuk memeluk Islam. Insya-Allah, jika diberitahu secara hikmah dan bertahap-tahap, mereka akan memahami hajat tersebut dan menyetujuinya. Dengan kefahaman dan persetujuan mereka, proses memeluk Islam akan menjadi lebih mudah. Di samping itu kita juga boleh meneruskan hubungan yang baik bersama mereka dan dapat …bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Malah mungkin ia juga dapat membuka ruang untuk menjemput mereka untuk turut memeluk Islam.

Tahap Kedua:

Jika ibubapa yang bukan Islam melarang kita daripada memeluk Islam, maka tidak perlu mentaati larangan tersebut sebagaimana firman Allah dalam ayat 15 surah Luqman di atas, yang bermaksud: …maka janganlah engkau taat kepada mereka.

Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan:

Umm Sa‘ad bersumpah tidak akan berkata-kata selama-lamanya sehinggalah (Sa‘ad bin Abi Waqqas)

kafir (keluar) daripada agamanya (Islam). (Dia juga bersumpah) tidak akan makan dan tidak akan minum. Dia berkata: “Kamu (Sa‘ad) berkata bahawasanya Allah berwasiat kepada kamu untuk berbuat baik kepada orang tua kamu padahal aku adalah ibu kamu, dan aku menyuruh kamu untuk melakukan ini

(keluar daripada Islam).”

Sa‘ad meneruskan, “Ibuku meneruskan nekadnya itu selama tiga hari sehingga pengsan

kerana kesungguhannya itu. Lalu datang anaknya (yang dikatakan bernama ‘Imarah) berdiri mendekatinya dan memberinya minum. Kemudian dia memanggil Sa‘ad. Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan dalam

al-Qur’an ayat berikut:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya

dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya),

dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Aku-lah jua tempat kembali

(untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Luqman 31:14-15][3]

Walaubagaimanapun seandainya kita dilarang oleh ibubapa untuk memeluk Islam, hendaklah kita cuba mencari jalan untuk berbincang dengan mereka secara bertahap-tahap, secara sopan dan hikmah. Lazimnya apabila ibubapa melarang, kemungkinan besar ia adalah kerana mereka terperanjat, salah faham tentang Islam dan menganggap masuk Islam bererti masuk Melayu. Maka jelaskanlah kepada mereka kenapa Islam menjadi pilihan kita, luruskan apa-apa salah faham mereka tentang Islam dan bersihkan anggapan mereka, bahawa memeluk Islam bukanlah bererti menjadi Melayu.[4]

Tahap Ketiga:

Dalam kes tertentu, hajat untuk memeluk Islam mungkin mengakibatkan suasana yang amat genting kepada kita dan/atau ibubapa. Kita mungkin akan dipulau oleh ibubapa, menyebabkan kita tidak memiliki tempat berteduh, pakaian, makanan dan minuman. Sekalipun terdapat beberapa institusi agama yang bertanggungjawab membantu “saudara baru”, khabar yang lazim diterima adalah institusi-institusi itu tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya.

Selain itu ibubapa yang memulau mungkin akan menghadapi gangguan emosi dan kesihatan, lebih-lebih lagi jika kita adalah anak kesayangan mereka atau satu-satunya anak mereka.

Apa yang dialami oleh Sa‘ad bin Abi Waqqas dalam hadis Shahih Muslim di atas bukanlah dalil mutlak dalam persoalan ini. Sebabnya, suasana yang berbeza serta individu yang berbeza akan melalui cubaan ini dengan cara yang berbeza. Ada yang lulus dan ada yang gagal. Islam sentiasa prihatin akan kemampuan berbeza-beza yang dimiliki oleh umatnya, maka dengan itu sentiasa memberi jalan keluar kepada mereka yang memerlukannya.

Jalan keluar yang dimaksudkan ialah meneruskan hajat untuk memeluk Islam tetapi menyembunyikannya daripada pengetahuan ibubapa. Ayat berikut menjadi rujukan:

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman (maka baginya tidak ada kemurkaan dan azab dari Allah). [al-Nahl 16:106]

Suasana genting yang dihadapi oleh kita adalah seumpama suasana terpaksa yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Maka tidak mengapa jika menyembunyikan iman asalkan hati kita tenang tenteram dengannya. Kemudian hendaklah secara bertahap-tahap mencari jalan untuk menzahirkannya. Cara yang terbaik ialah tetap berusaha untuk berbincang dengan ibubapa. Di samping itu mintalah nasihat daripada orang-orang yang sebelum ini pernah menghadapi dugaan yang seumpama.



[1] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2530 (Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh ibubapanya).

[2] Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687. Untuk membezakan hukum jihad antara Fardhu Kifayah dan Fardhu ‘Ain, sila rujuk buku saya: Apakah Jihad Di Jalan Allah? (Buku 2) terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2004.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1748 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan Sa‘ad bin Abi Waqqas)

[4] Lebih lanjut berkenaan salah faham antara Islam sebagai agama dan Melayu sebagai bangsa, rujuk buku Osman Chuah Abdullah yang berjudul Preaching To The Non-Muslim Chinese In Malaysia (Intl. Islamic Univ. of Malaysia, K. Lumpur, 2002).

eenam: Kehinaan Anak Yang Tidak Berbuat Baik Kepada Ibubapa Yang Lanjut Umur.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!”

Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab:

Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.[1]

Apabila ibubapa kita mencapai umur lanjut, lazimnya cabaran untuk berbuat baik kepada mereka menjadi lebih tinggi. Ini kerana umur yang lanjut selalunya sinonim dengan sifat yang lebih cerewet, celoteh yang pelbagai, kedegilan yang menjadi-jadi dan kesihatan yang semakin berkurang. Maka jika kita dapat bersabar dengan cabaran-cabaran yang kian bertambah ini, maka ia sebenarnya memudahkan lagi laluan ke syurga. Manakala jika kita tidak dapat bersabar, maka ia sebenarnya menyukarkan lagi laluan ke syurga.

Tidak berlebihan jika diumpamakan, berdasarkan hadis di atas, bahawa kita hendaklah memandang ibubapa yang sudah tua sebagai penjaga pintu syurga. Jika kita bersabar dan terus beristiqamah berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan membuka pintu syurga kepada kita. Sebaliknya jika kita hilang sabar dan tidak berbuat baik kepada ibubapa, maka mereka akan menutup pintu syurga tersebut daripada kita.

Ibubapa yang sudah lanjut usianya juga telah mendapat perhatian di dalam al-Qur’an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya,

atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,

maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff”, dan janganlah engkau menengking (dan/atau) menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [al-Isra 17:23]

Berkata al-Qurtubi rahimahullah berkenaan ayat di atas:

Firman Allah: “Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu”: Keadaan ketika umur lanjut diistimewakan kerana dalam keadaan demikian, ibubapa sangat memerlukan bakti anaknya. Ini disebabkan keadaan mereka telah berubah menjadi lemah dan tua renta. Oleh itu dalam keadaan sedemikian, Allah mewajibkan untuk memerhatikan ibubapa melebihi perintah sebelum masa tersebut. Dalam keadaan usia lanjut, ibubapa menjadi lemah sehingga memerlukan rawatan sebagaimana dahulunya ketika kanak-kanak, seorang anak juga memerlukan rawatan ibubapanya. Atas sebab inilah keadaan umur lanjut diistimewakan.

Selain itu, hidup bersama (antara anak dan ibubapanya) dalam jangka waktu yang lama adakalanya menyebabkan seorang anak merasa berat, bosan dan banyak mengeluh sehingga menampakkan kemarahan kepada ibubapanya (yang sudah lanjut umur), menunjukkan urat lehernya yang menegang atau bahkan mencaci keduanya. Ini semua berlaku lantaran kedekatan hubungan seorang anak yang tidak diimbangi dengan nilai agama yang baik. Sikap buruk yang paling ringan ialah mengeluarkan nafas mengeluh.

Justeru (dalam suasana seperti ini) Allah memerintah (kepada anak) untuk bersikap kepada ibubapanya dengan tutur kata yang mengandungi kemuliaan, bersih daripada semua kecacatan. Firman Allah: “…janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan "Uff”, maksudnya, janganlah berbicara dengan ibubapa dengan ucapan yang mengandung isyarat kemarahan, sekalipun sedikit. Mujahid berkata: “Ertinya, apabila kamu (seorang anak) melihat ibubapanya di usia lanjut membuang air besar dan air kecil di sebarangan tempat sepertimana yang pernah terjadi kepada kamu apabila kamu masih kecil, maka janganlah mengeluh dan berkata “Uff” kepada mereka.”

Firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, yakni tutur kata yang halus dan sopan seperti “Wahai ayahku”, “Wahai ibuku”, tanpa menyebut namanya dan gelarannya. Ibn Baddah al-Tujaini berkata, aku bertanya kepada Sa‘id ibn Musayyab: “Semua jenis berbuat baik kepada ibubapa yang disebut dalam al-Qur’an telah aku fahami, kecuali firman Allah: “katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia?” Sa‘id ibn Musayyab menjawab: “Seperti ucapan seorang budak yang melakukan kesalahan di hadapan tuannya yang berperangai kasar lagi keras.”[2]



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2551 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab sungguh hina seseorang yang mendapati orang tuanya……).

[2] Nukilan berpisah daripada Jami li Ahkam al-Qur’an, (edisi Cdrom The Holy Qur’an v6.31; tafsir kepada ayat 23 surah al-Isra’).

Ketujuh: Tidak Boleh Membenci Dan Memutuskan Hubungan Dengan Ibubapa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Janganlah kalian membenci ayah kalian. Sesiapa yang membenci ayahnya maka dia kufur.[1]

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, antara tindakan seorang anak dalam rangka menunjukkan kebencian kepada ayahnya ialah memutuskan nasab dengan ayahnya yang asal, atau menghubungkan nasabnya kepada orang lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan tentang hal ini:

Sesiapa yang mengakui nasabnya kepada selain ayahnya padahal dia mengetahui bahawa itu bukan ayahnya, maka syurga diharamkan ke atasnya.[2]

Pada masa kini, kebencian seorang anak kepada ayahnya dibuktikan melalui pelbagai cara, tanpa sekadar mengubah nasab. Ada yang menengking ayahnya, ada yang melarikan diri dan ada yang mengisytihar memutuskan hubungan dengan ayahnya. Semua ini dilakukan atas sebab-sebab remeh, antara yang paling lazim ialah berbeza pilihan kekasih. Tindakan ini dan selainnya termasuk kebencian kepada ayah yang dilarang dalam Islam. Melarikan diri atau memutuskan hubungan dengan ayah memiliki akibat yang amat berat di dunia dan akhirat, sebagaimana amaran Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak ada dosa yang lebih layak untuk disegerakan oleh Allah Ta‘ala ke atas pelakunya di dunia ini disamping apa yang disimpan bagi pelakunya di Hari Akhirat melainkan perbuatan memberontak (terhadap pemimpin) dan memutuskan silraturahim.[3]

Tidak ada tindakan memutuskan silraturahim yang lebih berat hukumnya melainkan terhadap ibubapa sendiri.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 6768 (Kitab al-Fara’id, Bab orang yang mendakwa kepada selain ayahnya). Terdapat perbincangan tentang apakah yang dimaksudkan dengan “kufur” dalam hadis ini. Apa pun, yang penting ia menunjuk kepada satu tindakan yang dilarang oleh agama, maka hendaklah dijauhi.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 6766 (Kitab al-Fara’id, Bab orang yang mengakui nasab kepada selain ayahnya).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4902 (Kitab al-Adab, Bab larangan daripada memberontak).

Kelapan: Doa Ibubapa Pasti Dikabulkan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:

Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.[1]

Berdasarkan hadis di atas, maka beruntunglah kita jika ibubapa dalam keadaan redha dan mendoakan kebaikan kepada kita. Pada waktu yang sama rugilah kita jika ibubapa dalam keadaan murka sehingga mereka tidak berdoa apa-apa atau mendoakan sesuatu keburukan kepada kita.

Sebelum ini kita sama-sama telah membaca kisah seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau asyik beribadah dalam biara yang didirikan khas sehingga tidak mengendahkan panggilan ibunya. Akhirnya ibu tersebut mendoakan Juraij: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!” Akhirnya Juraij dan peribadatannya terganggu kerana dia difitnah oleh seorang pelacur. Demikian ringkasan sebuah hadis yang panjang, yang di dalamnya terkandung dua pengajaran:

  1. Urusan ibubapa adalah lebih penting daripada urusan beribadah, lebih-lebih lagi jika ibadah yang sedang dilaksanakan hukumnya adalah sunat. Jika ia adalah ibadah wajib, maka hendaklah diperhatikan sama ada ia boleh ditangguh atau diringkaskan ibadah tersebut.

  2. Berhati-hatilah dengan doa daripada ibubapa.



[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1905 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan doa kedua ibubapa).

Kesembilan: Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya

Memiliki Darjat Yang Istimewa.

Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”

Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”

Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.[1]

Demikianlah besarnya darjat seorang anak yang berbuat baik kepada ibunya sehingga jika dia bersumpah, nescaya sumpahnya dibenarkan oleh Allah. Jika dia meminta ampun kepada Allah untuk seseorang, nescaya Allah akan mengampunkan orang tersebut. Sebegitu besar darjatnya sehingga seorang sahabat yang mulia kedudukannya, yakni Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, tidak melepaskan peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk mendoakan keampunan untuk dirinya.

Hadis ini tidak terhad kepada Uwais bin ‘Amar, tetapi merangkumi sesiapa sahaja yang sentiasa beristiqamah berbuat baik kepada ibubapanya. Maka janganlah kita menganggap berbuat baik kepada ibubapa sebagai satu amalan yang lekeh atau rendah martabatnya. Sebaliknya hendaklah diketahui bahawa ia adalah sesuatu yang mampu mengangkat darjat kita ke maqam yang tinggi di sisi Allah dan manusia yang lain.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan Uwais al-Qarni).

Kesebelas: Ibubapa Memiliki Hak Terhadap Sebahagian Harta Anak.

Pernah seorang anak datang mengadu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

“Wahai Rasulullah, saya memiliki harta dan anak akan tetapi ayahku ingin menghabiskan harta aku.” Rasulullah menjawab: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.”[1]

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik kecuali seorang ayah terhadap apa yang diberikannya kepada anaknya.[2]

Kedua-dua hadis di atas dapat dikupas dari dua sudut:

Sudut Pertama :

Ia adalah dari sudut keutamaan dimana ia menunjukkan betapa besar hak ibubapa ke atas kita sehingga harta kita dan apa yang pernah mereka berikan kepada kita boleh menjadi milik mereka. Sekalipun kedua-dua hadis di atas hanya merujuk kepada seorang ayah, akan tetapi seorang ibu termasuk sama. Ini kerana hak seorang ibu terhadap anaknya adalah lebih besar sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa hadis sebelum ini.

Sudut Kedua :

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hukum yang terkandung dalam kedua-dua hadis bukanlah secara mutlak tetapi dibatasi dengan kaedah bahawa ketaatan hanya dalam perkara yang ma’ruf, bukan maksiat. Sebelum ini telah dikemukakan dua buah hadis:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat, perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[3]

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[4]

Di samping itu terhadap sebuah hadis lain daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dimana beliau menerangkan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghantar satu ekspedisi pejuang dan melantik seorang lelaki

dari kalangan Ansar sebagai pemimpinnya. Baginda memerintahkan mereka (para pejuang) untuk mentaati pemimpin tersebut. Dalam ekspedisi itu, pemimpin tersebut menjadi marah kepada mereka

(para pejuangnya) dan berkata:

“Tidakkah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan kalian mentaati aku?”

Mereka menjawab: “Ya.”

Dengan itu dia berkata: “Aku memerintahkan kalian memungut kayu api, nyalakan api dan lompat ke dalamnya!”

Maka mereka memungut kayu api dan menyalakan api. Akan tetapi tatkala mereka ingin melompat

ke dalam, mereka melihat kepada satu sama lain dan sebahagian daripada mereka berkata:

“Sesungguhnya kita mengikuti Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (agama Islam) tidak lain untuk menyelamatkan diri daripada api, apakah patut kita memasukinya sekarang?”

Sementara itu api padam dan kemarahan pemimpin mereka juga menjadi reda. Maka setelah itu

mereka menceritakan apa yang berlaku kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menjawab: “Seandainya kalian melompat ke dalamnya pasti kalian tidak akan keluar selama-lamanya. Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[5]

Oleh itu apabila dikatakan: Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu, maka ia bukanlah keseluruhan harta sehingga meninggalkan kita dalam keadaan muflis dan merana. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah, ibubapa memiliki kedudukan yang amat besar terhadap kita sehingga mereka berhak kepada sebahagian daripada harta kita. Betapa tidak, bukankah ibubapa juga, ketika kita masih kecil, telah mengorbankan sebahagian besar harta mereka untuk membesar dan mendidik kita? Justeru berdasarkan hadis ini, kita tidak boleh bersikap kedekut terhadap ibubapa. Hendaklah secara rela kita berkongsi sebahagian harta bersama ibubapa dan memberikan lebih dari itu jika mereka berhajat kepadanya.

Perkara ini turut disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan firman-Nya:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):

“Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?”

Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah

kepada kedua ibubapa…” [al-Baqarah 2:215]

Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

Seorang anak belum membalas budi ayahnya sehingga dia mendapati ayahnya seorang budak hamba, lalu dia membelinya dan memerdekakannya.[6]

Demikian juga berkenaan hak ibubapa untuk mengambil semula pemberian mereka kepada kita. Pengambilan semula adalah dengan syarat ia tidak menjadikan kita dalam keadaan yang sukar. Sebagai contoh, jika ibubapa telah memberi duit pendahuluan kepada kita untuk membeli kereta, mereka hanya boleh meminta balik duit tersebut jika kita belum membeli kereta. Jika kita sudah membeli kereta, ibubapa tidak boleh meminta balik kerana ini akan membebankan kita.

Sebelum beralih ke hadis seterusnya, ingin ditekankan bahawa memberi harta atau wang ringgit kepada ibubapa hanyalah merupakan sebahagian daripada tuntutan berbuat baik kepada ibubapa. Ia tidak mewakili keseluruhan daripada tuntutan tersebut. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang merasa cukup untuk berbuat baik kepada ibubapa sekadar mengirim elaun bulanan RM200 ke kampung. Selain itu tidak diendahkan langsung hal ehwal ibubapa. Malah jika diketahui ibubapanya amat menghajati anak-anaknya, hajat tersebut ditutupi dengan cara menambah elaun bulanan.

Ketahuilah bahawa bagi kebanyakan ibubapa, perhatian daripada kita sebagai anak-anak lebih mereka hargai daripada wang ringgit. Sering menalifon, menghantar surat dan balik ke kampung lebih dihargai dan diredhai oleh ibubapa daripada “RM” sekian-sekian yang dihantar setiap bulan.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2291 (Kitab al-Tijarah, Bab apa bahagian ayah daripada harta anaknya)

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1299 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan mengambil balik apa yang telah diberikan)

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman)

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7145 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 3659 (Kitab al-Adab, Bab berbuat baik kepada ibubapa).

Keduabelas: Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Tidak ada nikah kecuali dengan wali.[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:

Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,

yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.

Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:

Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu

(seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut.

Sudut Pertama:

Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

  1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

  2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

  3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah

terletak pada kemurkaan ibubapa.[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:

Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.

Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.

Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

  1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.

  2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal

akan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya),

seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin

dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: …ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]

Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2085 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2083 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 5138 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan berbuat baik kepada ibubapa).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1900 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan keutamaan mendapat redha ibubapa).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7145 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2083 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

  1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2085 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali)]

  2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

  3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1900 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan keutamaan mendapat redha ibubapa).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Template by:
Free Blog Templates